|
..:UNTUK PAPARAN YANG LEBIH MEMUASKAN, SILA GUNAKAN:.. (MOZILLA FIREFOX WEB BROWSER) PERKUKUH SEKOLAH KEBANGSAAN DI Malaysia, kerajaan tidak pernah memaksa rakyat memilih sekolah kebangsaan (SK) sebagai satu-satunya tempat untuk menyekolahkan anak-anaknya. Malah di bawah Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), setiap aliran sekolah mndapat layanan saksama. Sebagai contoh, dalam pemilihan sekolah kecemerlangan kluster, ada kluster terpilih untuk setiap aliran. Cuma, kita perlu memahami bahawa di Malaysia, keputusan berlaku secara pemilihan semulajadi berdasarkan meritokrasi. Walau bagaimanapun, agenda memperkasa genre sekolah itu perlu terus dijunjung kerana SK merupakan wadah terbaik untuk memupuk perpaduan, kerjasama dan semangat cintakan negara. Pada ketika ini, sekitar 2.3 juta pelajar atau 76.3 peratus daripada sejumlah 3.1 juta pelajar sekolah rendah berada di 5,789 buah SK. Dalam kalangan 5,789 buah SK ini, 4,036 daripadanya berada di luar bandar, 1,453 merupakan Sekolah Kurang Murid (SKM), 309 merupakan Sekolah Bantuan Modal, 651 adalah sekolah dua sesi, 1,414 tidak mempunyai bekalan air awam, 768 tidak mempunyai bekalan elektrik 24 jam dan 1,988 masih belum mempunyai makmal dan bilik komputer. Dalam RMK-9, Kementerian Pelajaran berhasrat untuk memastikan SK yang terpinggir ini mendapat prasarana yang sama seperti SK yang lebih bernasib baik. Kementerian pelajaran akan berusaha menjadikan SK lebih beraspirasi nasional, meningkatkan pencapaian akademik dan kokurikulum pelajar, membangunkan budaya sekolah yang cemerlang, meningkatkan kualiti kepimpinan, pengurusan dan guru-guru, menyeimbangkan nisbah guru dari pelbagai etnik serta meningkatkan penglibatan dan rasa kepunyaan ibu bapa serta komuniti terhadap SK. Sepanjang 2007, Kementerian Pelajaran mengambil langkah menjadikan SK pusat kecemerlangan pendidikan dari semua segi. Hal yang dilihat mencakupi prasarana, disiplin dan keselamatan pelajar, pencapaian akademik, pencapaian ko-kurikulum, penguasaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), kualiti guru dan pengurusan sekolah. Selain langkah yang disebutkan tadi, sebagai langkah tambahan untuk menarik minat ibu bapa bukan Melayu terhadap SK, KPM akan menyusun dan mempakejkan semula pelaksanaan pengajaran mata pelajaran Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Usaha ini merupakan penambahbaikan terhadap pelaksanaan mata pelajaran Bahasa Cina Komunikasi (BCK) dan Bahasa Tamil Komunikasi (BTK) yang telah dilaksanakan di SK sejak tahun 2002. Bagi mendapatkan model pelaksanaan yang terbaik, kementerian itu merintis pelaksanaan tiga model berbeza di sejumlah sekolah yang terpilih di kawasan yang kompetitif mulai tahun ini. Sebagai langkah tambahan bagi menarik minat ibu bapa pelajar Islam pula, Kementerian Pelajaran merancang untuk memperluaskan lagi pelaksanaan pengajaran Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) ke sebanyak 1,235 buah sekolah lagi sebagai tambahan kepada pelaksanaannya di 1,221 buah sekolah pada tahun lepas.
MEMAHAMI SEKOLAH KEBANGSAAN 1. Sekolah kebangsaan ialah sekolah rendah kerajaan atau sekolah rendah bantuan kerajaan:- (a) yang menyediakan pendidikan rendah yang sesuai bagi murid dari umur enam tahun; (b) yang menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama; (c)yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib; dan (d) kemudahan bagi pengajaran - i) bahasa Cina atau Tamil diadakan jika ibu bapa sekurang-kurangnya lima belas orang murid di sekolah itu memintanya; dan ii) bahasa-bahasa kaum asli diadakan jika didapati munasabah dan praktik berbuat sedemikian dan jika ibu bapa sekurang-kurangnya lima belas orang murid di sekolah itu memintanya (Akta 550). |