| Average user rating |
(0 vote) |
|
Oleh: Syuhada Choo Abdullah TIMBALAN Menteri Pelajaran yang baru, Datuk Razali Ismail, akan menjadikan usaha berterusan untuk mengemas kini dan mempertingkat tahap profesionalisme guru, sebagai salah satu fokusnya dalam memikul tanggungjawab menyandang ‘kerusi panas’ itu.
Katanya, aspek itu harus diberi penekanan serius bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah, berlaku secara dua hala serta berkesan mencetuskan keseronokan pelajar menimba ilmu, sekali gus menjana kecemerlangan mereka secara holistik. Dalam konteks ini, beliau berkata, guru perlu sentiasa diberi pendedahan terkini menerusi kursus profesional dan latihan berterusan sepanjang perkhidmatan mereka.
“Di samping itu, saya juga berharap setiap guru membuat refleksi kendiri atas pengajaran mereka di bilik darjah sama ada ia memberi kesan positif kepada pelajar.
“Guru mesti sentiasa berfikir secara kritis serta bertindak proaktif. Justeru, saya mencadangkan supaya mereka menulis jurnal atau refleksi atas kerja yang dilakukan sebagai rujukan peribadi. “Kajian ini akan membolehkan guru mengetahui perkembangan hasil usaha mereka dan langkah penambahbaikan diperlukan.
“Usaha sebegini sudah menjadi amalan guru di negara maju,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya selepas menghadiri majlis mengangkat sumpah jawatan, taat setia dan menyimpan rahsia oleh barisan menteri Kabinet serta timbalan menteri di Istana Negara, kelmarin.
Dalam konteks berkaitan, Razali berkata, Kementerian Pelajaran juga sedang berusaha mengurangkan beban kerja guru, antara lain mengadakan rundingan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam supaya guru tidak perlu melakukan kerja perkeranian yang sepatutnya dikendalikan kakitangan bukan profesional.
Dalam pada itu bagi memenuhi agenda pendidikan negara, Razali berazam memanfaatkan pengalamannya lebih 25 tahun dalam perkhidmatan pendidikan sebelum ini untuk mencurah sepenuh bakti dan komitmen terhadap amanah diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Beliau pernah menyandang pelbagai kedudukan penting dalam perkhidmatan pendidikan, antara lain Pengarah Pelajaran Terengganu sebelum melepaskan jawatan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru berikutan dipilih sebagai calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya umum 2004.
Meskipun sudah beralih kepada bidang politik, Razali mengakui minat serta perhatiannya terhadap perkembangan pendidikan tanah air tidak pernah luntur, termasuk mengikuti perkembangan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang digerakkan Kementerian Pelajaran.
Justeru, Razali berkata, beliau akan bergembleng tenaga dengan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dan seorang lagi Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, bersama keseluruhan jentera Kementerian Pelajaran, bersiap sedia menangani tanggungjawab itu dengan berkesan.
Beliau tidak menafikan pelantikan terbaru itu umpama `sirih pulang ke gagang’, tambahan pula ingatannya terhadap pengalaman dan pengetahuan mengenai tugas pernah dipikul dalam pendidikan masih segar.
“Semua ini akan membantu saya menangani tugas sebagai Timbalan Menteri Pelajaran. Bagaimanapun, masih banyak lagi yang perlu saya belajar seiring perkembangan terkini.
“Kementerian Pelajaran adalah organisasi yang menarik perhatian seluruh rakyat. Oleh itu, kita perlu berhati-hati di mana semua peringkat warga pendidikan harus menunjukkan komitmen masing-masing, bersikap profesional dan proaktif,” katanya. ::Petikan dari Berita Harian 21 Mac 2008 ::
Recommend this article...
Users' Comments (1)
|
|
|